Kuala Lumpur: EcoFirst Consolidated Bhd (EcoFirst) merekodkan 92 peratus kadar jualan bagi projek pembangunannya, KL48 yang dijangka siap sepenuhnya menjelang suku kedua 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif EcoFirst, Wilbert Goh berkata, KL48 yang dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1 bilion itu sudah mencapai fasa akhir pembangunan.
Katanya, projek KL48 itu terdiri daripada dua blok yang menempatkan 1,700 unit pangsapuri servis dan sembilan ruang perniagaan.
“KL48 direka untuk memenuhi kehendak generasi baharu yang mengutamakan aksesibiliti, gaya hidup dan keselamatan di satu tempat.
“Projek ini, dijangka siap lebih awal daripada jadual yang ditetapkan dan penyempurnaan struktur akhir pembangunan ini bukan sekadar kemajuan fizikal ia melambangkan pencapaian visi kami untuk kehidupan bandar yang terhubung dan bertaraf tinggi,” katanya kepada media.
Beliau berkata demikian di Majlis Penyempurnaan Struktur Bumbung KL48 di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengerusi Kumpulan EcoFirst Datuk Faisal Zelman Datuk Abdul Malik dan Pengarah Eksekutifnya, Datuk Kenneth Teoh.
Goh berkata, baki unit KL48 yang belum terjual itu membabitkan lot Bumiputera dan pihaknya berharap ia dapat terjual dalam masa terdekat.
Menurutnya, sebagai Pembangunan Bersebelahan Transit (TAD), KL48 menawarkan hubungan yang lancar dengan hanya 500 meter dari stesen transit aliran massa (MRT) dan transit aliran ringan (LRT) terdekat.
Dengan lokasi strategik dan kemudahan yang direka dengan teliti, KL48 bakal menjadi antara kediaman paling diidamkan di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Goh berkata, EcoFirst bakal melancarkan projek pembangunan bercampur terbaru di Jade Hills, Kajang yang dijadualkan bermula pada suku ketiga 2025.
Pembangunan itu akan merangkumi keluasan kasar tanah pegangan bebas seluas 4.5 ekar (1.82 hektar) dan dijangka dengan GDV sekitar RM400 juta.
Projek Pembangunan bercampur ini akan merangkumi sejumlah 1,072 unit, terdiri daripada SOVO (Small Office Versatile Office), SOHO (Small Office Home Office) dan pangsapuri servis.
Saiz unit akan bermula dari 450 hingga 1,000 kaki persegi, menawarkan pilihan fleksibel yang sesuai dengan gaya hidup bandar moden serta keperluan pelaburan yang pelbagai.