KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) — Ecofirst Consolidated Bhd telah mencadangkan untuk mengambil alih baki 49 peratus kepentingan dalam BCM Holdings Sdn Bhd daripada Tan You Tiong dengan pertimbangan tunai sebanyak RM78.4 juta.
Ecofirst Consolidated ketika ini memiliki 51 peratus kepentingan dalam BCM.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju hartanah itu berkata selepas selesai cadangan pelaksanaan yang dijangka pada suku pertama 2023, BCM akan menjadi anak syarikat milik penuh syarikat tersebut.
“Pertimbangan pembelian sebanyak RM78.4 juta dicadangkan untuk dibiayai sepenuhnya melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman bank,” katanya.
Ecofirst Consolidated berkata, hartanah semasa BCM terdiri daripada dua tanah pegangan bebas sebelah menyebelah seluas 1.69 hektar di Seksyen 92, Kuala Lumpur, kira-kira 5.9 kilometer ke selatan Menara Berkembar Petronas dengan nilai pasaran sebanyak RM206.5 juta.
Ia berkata BCM juga telah memperoleh perintah pembangunan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk cadangan pembangunan dengan nilai pembangunan kasar kira-kira RM1 bilion dan kos pembangunan kasar (GDC) sebanyak RM620 juta.
“Selepas selesai cadangan pengambilalihan itu, hartanah BCM akan menjadi sebahagian daripada tanah simpanan kumpulan itu.
“Selain daripada sebarang keadaan yang tidak dijangka, kumpulan itu dijangka mengiktiraf keuntungan kasar kira-kira RM380 juta sepanjang tempoh pembangunan yang dianggarkan selama empat tahun,” katanya.
Melangkah ke hadapan, ia berkata walaupun pasaran hartanah yang semakin pulih, Ecofirst Consolidated menjangkakan prospek hartanah BCM menjadi positif dan bertambah baik dari semasa ke semasa apabila pasaran hartanah pulih secara beransur-ansur.