KUALA LUMPUR, 12 Mei — Keuntungan bersih Ecofirst Consolidated Bhd turun 20.1 peratus kepada RM5.4 juta untuk suku ketiga yang berakhir pada 29 Februari, 2020 daripada RM6.7 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju hartanah itu berkata pendapatannya menurun 24.7 peratus kepada RM43.3 juta daripada RM57.5 juta sebelumnya, berikutan Fasa 1 pembangunan utamanya, Ampang Ukay – Liberty @ Ampang Ukay (dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM606.8 juta) – mencapai fasa akhir pembinaan.
Untuk tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 29 Februari, 2020, Ecofirst berkata perolehannya merosot 21.2 peratus kepada RM125.7 juta berbanding RM159.5 juta pada tempoh yang sama tahun lepas kerana penjualan hartanah yang lebih rendah.
Keuntungan bersih syarikat juga berkurangan 3.1 peratus kepada RM15.0 juta bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 29 Februari 2020 daripada RM15.5 juta sebelumnya.
Dalam satu kenyataan yang berasingan, syarikat itu berkata pembangunan Liberty @ Ampang Ukay telah siap pada 10 Jan 2020, dan mencatat kadar pembelian sebanyak 99 peratus pada 6 Mei, 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Tiong Kwing Hee berkata kadar pembelian yang mantap itu menunjukkan permintaan yang tinggi untuk kediaman yang menggabungkan mampu milik dan rekabentuk premium di lokasi strategik.
“Pembangunan Ampang Ukay bernilai RM5 bilion adalah pertama untuk syarikat kami, kejayaan Liberty @ Ampang Ukay memeberi petunjuak masa depan yang cerah untuk kumpulan, pada masa sama kami mensasarkan lebih banyak lagi projek pembangunan sebagai langkah ke hadapan,” katanya.
Tiong berkata kumpulan itu sedang mendapatkan persetujuan daripada pihak berkuasa untuk pelan induk Ampang Ukay, ia akan memberi kumpulan itu pelan pembangunan selama 12 tahun yang jelas.
“Pada masa yang sama, kami juga sedang mengenalpasti beberapa bidang tanah yang kami mahu bangunkan dan meningkatkan kemampanan pendapatan kami,” katanya.
Harga saham Ecofirst ditutup satu sen lebih rendah pada 34 sen hari ini, dengan 283,000 saham diniagakan.
Language: Malay