KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Ecofirst Consolidated Bhd melonjak 166 peratus kepada RM44.53 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Mei 2018 daripada RM16.71 juta setahun sebelumnya.

Perolehan meningkat 42 peratus kepada RM181.23 juta daripada RM127.21 juta bagi tempoh yang sama.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pembangunan hartanah itu berkata prestasi cemerlang pada tahun kewangan 2018 itu didorong khususnya oleh fasa pertama pembangunan Ampang Ukay atau dikenali sebagai Liberty @ Ampang Ukay, serta projek Upper East @ Tiger Lane, Ipoh, Perak.

Sungai Besi-Ulu Klang, serta pendapatan sewaan berulang daripada operasi dua pusat beli-belah iaitu, South City Plaza di Seri Kembangan, Selangor, dan Pusat Beli-belah 1Segamat di Segamat, Johor.

Pada suku keempat berakhir 31 Mei, 2018, Ecofirst merekodkan peningkatan keuntungan bersih tujuh peratus kepada RM8.9 juta daripada RM8.3 juta pada setahun lepas, manakala perolehan susut kepada RM60.71 juta daripada RM65.55 juta bagi tempoh yang sama.

Dalam kenyataan berasingan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Tiong Kwing Hee berkata permintaan tinggi terhadap Liberty, yang kini terjual hampir kesemuanya, menunjukkan produk syarikat memberi nilai baik kepada pembeli kali pertama, terutama profesional muda di bandar.

“Kami sedang menumpukan fasa kedua Ampang Ukay, yang dijangkakan dilancarkan pada separuh kedua 2019,” katanya, dengan menambah, Ecofirst turut merancang untuk membangunkan tiga blok unit kondominium bersaiz lebih besar yang akan menawarkan nilai terbaik kepada pasaran sasaran golongan muda berkeluarga.

Berdasarkan anggaran nilai pembangunan kasar RM5 bilion, Ampang Ukay akan menjadi pemacu utama pertumbuhan Ecofirst bagi jangka sederhana dan panjang.

Kwing Hee berkata, Ecofirst juga akan meneroka dan membangunkan projek usaha sama pada masa depan.

-BERNAMA

Publication: Berita Harian

Channel: Online

Language: Malay

Source From: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2018/07/455673/untung-bersih-ecofirst-melonjak-166-peratus